Masya Allah, alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya, dipanjangkan usia meltapangkah ke bulan Syaaban, mudah-mudahan sampailah ke bulan Ramadan Menerima buku amalan baru, mudah-mudahan diterima amalan buku lama. Semoga ada kesempatan untuk terus memperbaiki diri. Hampir lima tahun tanpa 'my other half" dan selama itu macam-macam Allah telah tunjukkan belang dan 'true colours' rakan-rakan di pejabatku. Allah Maha Mengetahui. Semoga dengan kurniaan ilmu yang sedikit di dada masing-masing, akhlak dan adab seharusnya dijunjung di antara kita. Begitulah adat manusia, ketika diuji dengan sedikit kekuasaan dan kepandaianya, maka bermaharajalelalah keangkuhan. Tidak pernah terlintas di hati ini, mereka akan berubah 360 dek kerana pangkat dan kuasa. Mungkin sedikit kecewa dengan apa yang telah berlaku, ku doakan yang baik-baik. Seandainya ada di antara kalian yang menganiaya, serahkan segala-galanya kepada Allah, kerana Allah lebih mengetahui. Tambahan pula, aku percaya, doa orang yang teraniaya pastinya makbul di sisi Allah. Dalam apa jua keadaan yang aku hadapi, aku simpan rapat-rapat dalam diri ini, Allah kan ada. Andai kata ada yang tidak amanah di dalam menjalankan tugas, pastinya aku akan bersuara, begitulah sebaliknya, andai kata, ada yang tidak kena dari diri ini, tegurlah, bawa berbincang. Manalah tahu, aku tak nampak salah silap ku ini. Jika kalian nak berjaya, aku tiada masalah, naik lah, dakilah tangga karier itu, tetapi jangan sesekali memijak-mijak dan memperlekeh-lekeh orang lain. Allah Maha Mengetahui dan Maha Mendengar.
Sempena Bulan Syaaban yang mulia ini, ku tutup rapat-rapat apa jua yang telah berlaku. Memaafkan mudah saja buat diri ini, melupakan pastinya sukar. Bukannya apa, buat pedoman pada hari esok. andaikata, rezeki ku hanya setakat ini di pejabat itu, aku percaya itulah yang terbaik untuk diri ini. Kerana selama ini firasat dan petunjuk dari Mu, Ya Allah, pastinya yang terbaik untuk diri ini. Andaikata hijrah ke tempat kerja baru yang terbaik untukku, dunia dan akhiratku, permudahkan lah urusannya nanti.
Comments
Post a Comment